Saturday, October 16, 2010

BEBERAPA HUKUM BERKAITAN KEMATIAN MENURUT SUNNAH - Siri 2



إِذَا حَضَرْتُمُ الْمَرِيْضَ أَوِ الْمَيِّتَ فَقُوْلُوْا خَيْرًا فَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ يُؤَمِّنُوْنَ عَلَى مَا تَقُوْلُوْنَ

Maksudnya: Apabila kamu menghadiri (ziarah) orang sakit atau orang mati maka ucapkan ucapan yang baik kerana para malaikat mengaminkan atas apa yang kamu ucapkan.

Peluang berdoa memohon rahmat serta keampunan untuk si mati ini banyak disia-siakan oleh penziarah dan bahkan oleh keluarga si mati sendiri. Sedangkan Allah memerintahkan kita supaya berbuat demikian sepanjang masa lebih-lebih lagi dalam keadaan menghadapi kematian. Firman Allah SWT di dalam Surah Muhammad ayat 19:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ

Maksudnya: Dan mohonlah keampunan bagi dosa kamu dan dosa orang-orang beriman lelaki dan perempuan.

Malangnya mereka begitu sibuk dengan “acara-acara” yang telah di susun dan diaturacarakan oleh adat dan amalan yang tidak thabit dari sunnah Nabi Muhammad SAW. Sedangkan kalau di lihat dari keterangan-keterangan yang bersumber dari sunnah Nabi Muhammad SAW apabila terjadi kematian maka doa dari orang yang hidup amat ditekankan. Kita dapat lihat secara jelas perkara ini bermula dari:

Selepas mati (seperti hadith di atas)
Dalam solat jenazah
Di kubur selepas dikebumikan
Oleh itu setiap penziarah dan juga keluarga si mati hendaklah memberi perhatian yang besar tentang perkara ini.

Janganlah disia-siakan peluang berdoa dalam keadaan yang begitu penting ini, lebih-lebih lagi doa tersebut diaminkan oleh para malaikat. Inilah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW semasa menziarahi jenazah Abu Salamah RA melalui doa yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, Abu Daud:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ ِلأَبِيْ سَلَمَةَ وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الْمَهْدِيِّيْنَ وَاخْلُفْهُ فِي عَقِبِهِ فِي الْغَابِرِيْنَ وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ وَافْسَحْ لَهُ فِي قَبْرِهِ وَنَوِّرْ لَهُ فِيْهِ

Maksudnya: Ya Allah berilah keampunan untuk Abu Salamah, angkatlah darjatnya di dalam golongan orang-orang yang mendapat petunjuk, kurniakanlah gantinya untuk orang yang ditinggalkannya, berilah keampunan untuk kami dan untuknya wahai Tuhan semesta alam dan lapangkanlah kubur untuknya serta penuhilah cahaya didalamnya.

Keterangan: Bagi sesiapa yang ingin berdoa dengan doa ini ketika menziarahi si mati, maka tukarkan tempat nama Abu Salamah itu dengan nama si mati. Sebagai contoh si mati bernama Muhammad:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِمُحَمَّد وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ……………….

Sekiranya penziarah atau keluarga si mati ingin menambah dengan doa yang lain maka boleh di pilih doa-doa yang berkisar kepada pengampunan dosa, memohon rahmat, dijauhkan azab kubur dan neraka, masuk syurga dan lain-lain.

Kemudian kita juga dapat melihat dalam suasana kematian ini ramai yang duduk di sekeliling jenazah sambil membaca Al-Quran atau surah-surah tertentu yang ditujukan bacaan tersebut untuk simati.

Persoalannya adakah bacaan tersebut sampai kepada si mati? Di sisi Imam As-Syafie tidak sampai pahala bacaan Al-Quran dari orang hidup untuk orang yang telah mati. Berkata Imam An-Nawawi di dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim (Jilid 4 mukasurat 98 cetakan Darul Hadith, Al-Qaherah-cetakan pertama 1994):

“Dan yang masyhur di dalam mazhab kami (As-Syafie) bahawa membaca Al-Quran (untuk simati) tidak sampai pahalanya”.

Ini berbeza sekiranya Al-Quran itu di baca oleh anak si mati kerana setiap amalan kebajikan yang dikerjakan oleh anak pasti diperolehi pahalanya oleh ibu dan bapa walaupun tidak diniatkan untuk kedua-duanya.

Sampaiya pahala setiap amalan kebajikan anak kepada kepada kedua-dua ibubapanya berdasarkan kepada “anak merupakan hasil dari usaha ibubapa”. Sabda Nabi SAW tentang perkara ini di dalam hadith riwayat Ahmad, Al-Bukhari (di dalam kitabnya At-Tarikh Al-Kabir), Abu Daud, An-Nasai, Ibnu Majah:

إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ وَإِنَّ وَلَدَهُ مِنْ كَسْبِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya apa yang paling baik dimakan oleh seseorang ialah dari hasil usahanya dan sesungguhnya anak adalah dari hasil usahanya.

Tapi yang malangnya dalam masyarakat kita ialah anak tidak berperanan ketika dalam keadaan ini. Urusan yang penting ini di serah dan diharapkan bulat-bulat kepada orang lain.

Dimanakah silapnya. Adakah si anak malu atau tergagap-gagap atau lebih buruk lagi tidak pandai membaca Al-Quran? Oleh itu kepada sesiapa yang bergelar ibubapa janganlah di beri dunia semata-mata kepada anak-anak, berikan sama (atau lebih) agama kepada mereka kerana faedahnya adalah untuk ibubapa juga, bukan untuk orang lain.

Kesembilan: Menyediakan makanan untuk keluarga si mati oleh jiran-jiran. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat As-Syafie, Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi, Ibnu Majah, Al-Hakim, Ad-Daruquthni, Al-Baihaqi ketika datang perkhabaran kematian Ja’far bin Abi Thalib yang syahid pada Peperangan Mu’tah:

اصْنَعُوْا ِلآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا فَقَدْ أَتَاهُمْ أَمْرٌ يَشْغَلُهُمْ

Maksudnya: Buatlah makanan untuk keluarga Ja’far kerana sesungguhnya telah menimpa mereka suatu perkara yang menyusahkan mereka.

Berkata Imam As-Syafie di dalam kitabnya Al-Umm (Jilid 2 mukasurat 635 cetakan Darul Wafa’, cetakan pertama 2001) mengenai perkara ini:

“Aku menyukai bagi jiran si mati atau kerabatnya membuat untuk keluarga si mati pada hari kematiannya dan sebelah malamnya makanan yang mengeyangkan mereka kerana sesungguhnya yang demikian itu adalah sunnah. Dan ia adalah satu tanda ingatan yang mulia di mana ia merupakan sebahagian dari perbuatan ahli kebaikan sebelum dan selepas kita”.

Inilah sunnah yang di ajar oleh Nabi Muhammad SAW dan juga sebagaimana yang di sebut oleh Imam As-Syafie di atas. Semestinya bagi keluarga si mati tidak menyibuk dan menyusahkan diri mereka menyediakan makan

apa lagi menjemput orang ramai ke rumah pada malam-malam tertentu kemudian menyediakan makanan untuk jemputan yang hadir. Berkata Dr. Wahbah Az-Zuhaily di dalam kitabnya Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh (Jilid 2 mukasurat 549-550 cetakan Dar Al-Fikr, cetakan kedua 1989):

“Adapun ahli keluarga si mati membuat makanan kepada orang ramai maka ia adalah makruh dan bid’ah yang tiada asal baginya (dari Nabi SAW).

Perbuatan sedemikian menambahkan lagi atas musibah mereka serta menyusahkan mereka atas kesusahan yang telah menimpa mereka dan menyerupai perbuatan ahli jahiliyyah. Sekiranya ia melibatkan harta waris yang belum baligh maka haram disediakan makanan (tersebut)”.

Kemudian Dr. Wahbah Az-Zuhaily membawa satu riwayat daripada seorang sahabat Nabi Muhammad SAW bernama Jarir bin Abdullah Al-Bajali RA dengan katanya:

كُنَّا نَرَى اْلإِجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنْعَةَ الطَّعَامِ مِنَ النِّيَاحَةِ

Maksudnya: Kami (sababat-sahabat Nabi Muhammad SAW) mengira bahawa berkumpul bersama keluarga si mati dan menyediakan makanan adalah termasuk dalam meratap.

Demikian juga di sebut di dalam Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji ‘Ala Mazhab Al-Imam As-Syafie karangan Dr. Musthofa Al-Khin, Dr. Musthofa Al-Bugho dan Ali Al-Syarbaji (Juzuk 1 mukasurat 263 cetakan Darul Ulum Al-Insaniyyah, cetakan pertama 1989) dalam perkara ke 7 bid’ah jenazah:

“Keluarga si mati membuat makanan dan menghimpun orang ramai atasnya sebagaimana yang biasa dilakukan di zaman ini. Perbuatan ini adalah bid’ah yang bertentangan dan sangat menyalahi Sunnah”.

Sayugianya setiap orang yang cintakan Agama dan Sunnah Nabi Muhammad SAW menghindarkan diri dari melakukan perkara-perkara baru yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW atau sekurang-kurangnya oleh sahabat-sahabat Baginda SAW. Ini penting untuk memastikan supaya ketulenan Islam itu tetap terpelihara dan terhindar dari tokok tambah.

Kesepuluh: Ta’ziah (menyabar dan memberi kegembiraan kepada kaum kerabat si mati). Sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat Ibnu Majah, Al-Baihaqi:

مَا مِنْ مُؤْمِنٍ يُعَزِّي أَخَاهُ بِمُصِيْبَةٍ إِلاَّ كَسَاهُ الله ُسُبْحَانَهُ مِنْ حُلَلِ اْلكَرَامَةِ يَوْمَ اْلقِيَامَةِ

Maksudnya: Mana-mana dari kalangan orang beriman yang memberi ta’ziah kepada saudaranya yang di timpa musibah nescaya Allah akan memakainya dengan pakaian kemuliaan pada Hari Qiamat.

Kemudian urusan jenazah seterusnya: di mandi, di kafan, di solat, dikebumikan.

BEBERAPA HUKUM BERKAITAN KEMATIAN MENURUT SUNNAH – Siri 1


Perlu di sedari dan di fahami bahawa di dalam urusan yang melibatkan kematian terdapat hukum yang telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW untuk di ikuti dan di patuhi oleh ummat. Ini supaya ummat terhindar dari unsur dan adat jahiliyyah yang sesat dan menyeleweng dari petunjuk serta sunnah Baginda SAW.

Oleh itu menjadi kewajipan atas setiap muslim yang beriman mematuhi dan mengamalkannya apabila berhadapan dengan saat sedemikian. Di antara hukum tersebut ialah:

Pertama: Mengajar syahadah لا إله إلا الله kepada orang yang hampir mati. Ini diarahkan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud, At-Tirmizi, An-Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Hibban:

لَقِّنُوْا مَوْتَاكُمْ : لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ

Maksudnya: Ajarkanlah orang yang hampir mati di kalangan kamu dengan لا إله إلا الله (Tiada Tuhan melainkan Allah).

Sekiranya orang yang hampir mati ini telah menyebut syahadah tersebut maka jangan diulang-ulang lagi keatasnya, kecuali jika ia bercakap dengan percakapan lain selepas itu.

Perkara Pertama ini perlu di ambil perhatian yang besar terutama oleh ahli keluarga orang yang hampir mati kerana jaminan syurga telah diberikan oleh Nabi Muhammad SAW bagi sesiapa yang mengakhiri umurnya dengan ucapan syahadah. Ahli keluarga terutamanya janganlah membiarkan walau sesaat pun kecuali hendaklah membisikkan ke telinga orang yang hampir ini dengan kalimah syahadah itu. Sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, Al-Hakim:

مَنْ كَانَ آخِرُ كَلاَمِهِ “لا إله إلا الله” دَخَلَ الْجَنَّةَ

Maksudnya: Barangsiapa yang akhir ucapannya لا إله إلا الله ia dapat masuk syurga.

Kedua: Istirja’ ( Mengucapkan إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ ) bila menerima berita kematian. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 dan 156:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ . الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Maksudnya: Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar – (Iatu) orang-orang yang apabila mereka di timpa oleh sesuatu musibah (kesusahan) mereka mengucapkan: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.

Juga boleh memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah) kemudian istirja’. Ini berdasarkan hadith riwayat Ahmad, At-Tirmizi, Ibnu Hibban di mana Allah bertanya kepada Malaikat (dalam riwayat Ahmad: Malaikat Maut) yang mengambil nyawa anak kesayangan hambaNya:

مَاذَا قَالَ عَبْدِي, فَيَقُوْلُوْنَ: حَمِدَكَ وَاسْتَرْجَعَ

Maksudnya: Apa yang disebut oleh hambaKu. Maka jawab para Malaikat: Ia memujiMu dan istirja’.

Ketiga: Menutup mata si mati. Ini berdasarkan hadith riwayat Ahmad, Muslim, Al-Baihaqi dari Ummu Salamah RA yang menceritakan perbuatan Nabi Muhammad SAW pada hari kematian Abu Salamah RA, katanya:

دَخَلَ رَسُوْلُ اللهِ(ص) عَلَى أَبِي سَلَمَةَ وَقَدْ شَقَّ بَصَرُهُ فَأَغْمَضَهُ ثُمَّ قَالَ: إِنَّ الرُّوْحَ إِذَا قُبِضَ تَبِعَهُ الْبَصَرُ

Maksudnya: Rasulullah SAW masuk ke atas Abu Salamah dalam keadaan matanya terbuka lalu Nabi SAW menutupnya kemudian bersabda: Sesungguhnya roh apabila di cabut ia di ikuti oleh pandangan mata.

Keempat: Menutup seluruh jasad si mati dengan kain. Ini berdasarkan perkhabaran Aisyah RA sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Al-Baihaqi:

سُِجِّيَ رَسُوْلُ اللهِ (ص) حِيْنَ مَاتَ بِثَوْبِ حِبَرَةٍ

Maksudnya: Di tutup (mayat) Rasulullah SAW ketika wafat dengan sehelai kain buatan Yaman.

Kelima: Wajib atas keluarga si mati sabar dan redha. Ini kerana kematian orang yang disayangi merupa satu musibah yang termasuk di dalam ujian Allah kepada hamba-hambaNya. Firman Allah di dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 35:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

Juga lihat Surah Al-Baqarah ayat 155 di atas.

Keenam: Diharamkan atas keluarga si mati meratap (menangis dengan suara yang kuat/meraung, mengoyak baju, menampar pipi, memukul badan, menarik rambut). Tegahan ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat Ahmad, Muslim, Al-Baihaqi:

اثْنَتَانِ فِي النَّاسِ هُمَا بِهِمْ كُفْرٌ: الطَّعْنُ فِي النَّسَبِ وَالنِّيَاحَةُ عَلَى الْمَيِّتِ

Maksudnya: Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah dari perbuatan orang kafir: mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat.

Keterangan: Dibolehkan menangis/mengalirkan air mata tanpa mengeluarkan suara sebagai tanda sedih atas kematian orang yang disayangi. Nabi Muhammad SAW sendiri mengalirkan air mata pada hari kematian anaknya Ibrahim sebagaimana di dalam hadith riwayat Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain.

Ketujuh: Segera menyelesaikan hutang si mati dari harta yang ditinggalkan. Perkara ini begitu penting untuk disegerakan kerana mana-mana orang beriman yang mati dengan meninggalkan hutang maka rohnya akan terhalang dari mendapat nikmat. Sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat Ahmad, At-Tirmizi, Ibnu Majah, Al-Hakim:

نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: Roh orang beriman tergantung (terhalang dari mendapat nikmat) kerana hutangnya sehingga ditunaikan keatasnya.

Keterangan: Perlu disedari bahawa harta yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya terikat dengan urutan di bawah ini dari segi penggunaannya, bukan terus difaraidhkan sebagaimana yang difahami oleh masyarakat kita. Urutannya adalah seperti berikut ini:

Digunakan untuk membayar kos pengkebumian

Membayar hutang
Menunaikan wasiat (sekiranya si mati ada berwasiat)
Difaraidhkan kepada ahli waris.

Wednesday, October 13, 2010

Jantung Kita Yang Tidak Mengenal Penat




Bagi kita, jantung adalah organ asas. ia berdenyut sekitar tujuh puluh dua kali seminit atau kira-kira empat puluh juta kali setahun. untuk memahami bagaimana proses ini amat memeningkan, cuba buat genggaman dengan tangan kita dan kemudian lepaskannya, kemudian terus buat genggaman dan lepaskannya. Berapa minit kita dapat berbuat begitu?

Jantung kita, yang bersaiz sebesar penumbuk kita, berterusan melakukan aktiviti ini sepanjang hidup kita tanpa merasa letih atau berhenti. Jantung kita tidak pernah berhenti sekalipun ketika kita tidur.

Jika merasa gembira, jantung kita akan berdenyut lebih pantas, dan ia berdenyut perlahan ketika kita berehat. Jantung kita melakukan penyelenggaraan ini secara automatik ketika kita tidak menyedarinya.

Setiap kali jantung kita berdenyut, ia mengepam darah ke seluruh badan kita. Apa yang kita perlukan untuk hidup terdapat dalam darah ini. Setiap sel kita menerima oksigen dan makanan yang diperlukan daripada darah. Jantung kita mengepam sekitar 43,000 liter darah setiap hari.

Tahukah kita berapa banyak darah ini? Ia mencukupi untuk memenuhi 150 tab mandian. Tidakkah kita merasa penat sekiranya kita cuba mengeringkan sebuah tab mandian menggunakan sebiji cawan? Sekarang bayangkan bagaimana hendak mengeringkan air di dalam 150 tab mandian dengan sebiji cawan? Mungkin kita tidak dapat melakukan tugas sukar ini.

bagaimanapun, jantung kita telah melakukan tugas ini dan telah melakukannya sejak kita dilahirkan dan akan terus melakukannya sehingga kita meninggal dunia. Lebih-lebih lagi, ia tidak pernah berhenti.

Kita, misalnya akan berehat ketika melakukan kerja-kerja berat. Kita perlu berbaring atau berehat tetapi jantung kita tidak pernah letih. Ia kecil tetapi tugasnya amat besar. Kerana itulah Allah menjadikannya sedemikian rupa sehingga ia tidak pernah letih.

Mengatasi Masalah Anak-Anak Yang Nakal, Degil Dan Suka Melawan Cakap Ibu Bapa


Secara fitrahnya semua ibu bapa mahukan anak-anak yang menghormati ibu bapa, mentaati hukum agama, sentiasa menjauhi maksiat serta tidak terjebak dengan gejala sosial.

Pengalaman penulis di Darussyifa’ sering bertemu dengan ibu bapa yang mengadu tentang anak-anak mereka yang terjebak dengan gejala sosial seperti anak-anak yang lari dari rumah, bergaul dengan remaja yang rosak akhlak, berzina, menagih dadah, melawan ibu-bapa, kasar serta biadab dengan ibu bapa dan seumpamanya.

Ibu bapa yang datang ke Darussyifa’ ini meminta perawat mengikhtiarkan sesuatu supaya anak-anak mereka boleh dipulihkan.

Di antara yang biasa dilakukan oleh perawat ialah; Kaedah Pertama: Membaca doa-doa tertentu pada air seperti Surah al-Fatihah, Doa Pelembut Hati (Surah Taha ayat 1 hingga 5), Selawat Syifa’, Selawat Tafrijiyah, Doa Menghindar Maksiat (Surah al-Mu’min ayat 3) dan beberapa doa-doa yang lain.

Air yang telah dibacakan dengan doa ini diberi minum kepada anak-anak yang bermasalah ini juga dibuat bilasan mandi. Kaedah Kedua: Satu lagi ikhtiar yang sangat mujarab bagi mengatasi anak-anak yang suka melawan ibu-bapa ialah dengan memberi minum mandikan anak-anak ini dengan air tadahan lebihan wuduk ibu-bapa. Caranya seperti berikut;

1. Ibu dan bapa terlebih dahulu membersihkan semua anggota wuduk dengan sabun. Anggota-anggota wuduk ini termasuk yang rukun dan sunat iaitu mulut, hidung, muka, kedua tangan, kepala, kedua-dua telinga dan kaki hingga buku lali.

2. Setelah dibersihkan anggota-anggota wuduk tersebut, gunakan air biasa minuman atau air mineral untuk mengambil wuduk.

3. Cara yang mudah, duduk di atas kerusi dan letakkan baldi di bahagian antara kedua belah kaki. Biar isteri tolong menuangkan air untuk mengambil wuduk.

4. Membasuh semua anggota wuduk tiga kali. Mulakan dengan membaca bismillah. Basuh kedua belah tapak tangan diikuti dengan berkumur-kumur, membersihkan hidung. Pastikan air yang telah digunakan untuk membasuh tapak tangan dan berkumur-kumur masuk ke dalam baldi.

5. Berniat mengambil wuduk diikuti membasuh muka, seterusnya membasuh kedua tangan hingga ke siku, menyapu sedikit air di bahagian kepala, membasuh telinga dan akhir sekali membasuh kedua belah kaki hingga ke buku lali.

6. Setelah suami selesai, isteri pula mengambil wuduk dengan cara yang sama manakala suami pula yang membantu menuangkan air.

7. Setelah selesai, air lebihan wuduk yang terkumpul di dalam baldi tersebut dicampurkan dengan air biasa.

8. Mandikan anak-anak yang bermasalah dengan air tersebut. Insya’Allah dia akan menjadi anak yang patuh kepada kedua ibu-bapanya.

Pencegahan Awal Daripada pengamatan penulis serta kajian yang telah dibuat, lebih 90%ibu-bapa yang datang mengadu anak mereka bermasalah, apabila diperdengarkan doa berikut, mereka kata tidak pernah pun mendengar doa ini.

Doa tersebut adalah seperti berikut;

Terjemahannya: Ya Allah, jauhkan syaitan daripada kami dan jauhkan syaitan daripada anak yang akan Engkau anugerahkan kepada kami.

Doa yang tersebut di atas adalah dipetik daripada hadis nabi seperti berikut; Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Jika seseorang di antara kamu akan berjimak dengan isterinya kemudian membaca doa ini;

Maka jika Allah SWT mentakdirkan untuk dua orang suami isteri itu memperolehi anak, maka anak itu tidak dapat dimudaratkan atau diganggu oleh syaitan.” Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Doa ini diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya sebagai pencegahan awal bagi mengelakkan zuriat keturunan kita daripada diganggu dengan mudah oleh syaitan.

Sudah menjadi keazaman syaitan untuk menyesatkan umat Islam kepada kekufuran. Syaitan sentiasa bersungguh-sungguh mencari peluang yang ada untuk menggoda dan menghasut keturunan umat Islam supaya melakukan maksiat.

Maksud daripada hadis di atas jelas menunjukkan bahawa ketika pasangan suami-isteri sedang berjimak, syaitan ada bersama-sama untuk masuk ke dalam percantuman benih suami isteri yang akan terjadinya anak kelak.

Sekiranya doa yang tersebut di atas tidak dibaca ketika sedang berjimak, dengan mudah syaitan menjalankan pekerjaannya tanpa ada sebarang halangan. Syaitan akan duduk di benih yang akan terjadinya anak itu sejak dari awal lagi sehinggalah anak tersebut membesar.

Sebab itu anak-anak yang membesar ini sukar di bentuk ke arah membuat perkara-perkara ibadah dan kebaikan.

Mereka lebih cenderung melakukan perkara-perkara maksiat. Bagaimanapun jika doa yang tersebut tidak dibaca ketika berjimak mungkin kerana jahil atau lupa, masih ada lagi ikhtiar iaitu dengan memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak agar syaitan yang mengganggu menyerah kalah.

Hak Bantuan Guaman


Kesedaran hak dapatkan bantuan guaman masih kurang

SUNGAI PETANI, 12 Okt — Kesedaran masyarakat terhadap hak mereka untuk mendapatkan bantuan guaman atau diwakili peguam sekiranya ditahan atau ditangkap pihak polis masih kurang.

Pengerusi Pusat Bantuan Guaman Kedah/Perlis (PBGKP), Victor Paul Dorairaj berkata orang ramai perlu tahu mengenai hak mereka kerana setiap individu yang ditangkap perlu diberi penerangan tentang alasan mengapa mereka ditahan.

“Orang yang ditahan hendaklah dimaklumkan segera mengapa dia ditangkap dan dibenarkan berbincang serta diwakili pengamal undang-undang pilihan mereka,” katanya pada majlis perasmian Minggu Kesedaran Undang-undang Peringkat Kebangsaan 2010 di sini semalam.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk badan kehakiman serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memaklumkan kepada orang awam berkenaan hak-hak mereka.

Katanya salah guna kuasa akan berkurangan sekiranya rakyat mengetahui hak-hak mereka dan akses untuk mendapatkan keadilan adalah tidak bermakna jika orang ramai tidak mengetahui hak mereka.

“Setiap orang mesti mengetahui hak-hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan dan adalah hak mereka untuk berbincang Perlembagaan Persekutuan secara terbuka tanpa prejudis atau dituduh berat sebelah.

“Setiap masalah yang dihadapi adalah masalah perundangan dan peguam boleh membantu, golongan kurang berkemampuan boleh mendapat khidmat guaman di pusat-pusat bantuan guaman,” katanya.

Menurut Dorairaj PBGKP merupakan salah satu daripada 15 pusat bantuan guaman yang ditubuhkan di bawah Majlis Peguam Malaysia dan sehingga kini terdapat tiga cawangannya iaitu di Kangar, Alor Setar dan Sungai Petani.

Sementara itu menurut beliau, pada 2008 daripada 108,000 kes jenayah yang didengar di mahkamah Majistret di negara ini, lebih 84,000 individu tidak diwakili peguam.

Katanya sebanyak RM1.3 juta hasil sumbangan pengamal undang-undang MPM diperuntukkan untuk pusat-pusat bantuan guaman bagi 2010. — Bernama


1. APABILA DIBERHENTIKAN POLIS

1.1 Tidak Berpakaian Seragam, Minta Pengenalan Diri Jika beliau tidak berpakaian seragam, minta beliau tunjukkan pengenalan diri. Katakan; “Sila tunjukkan Kad Kuasa Polis anda.”

1.2 Kad Kuasa Polis
Merah : Pegawai Polis yang digantung tugas. Beliau tiada kuasa untuk melakukan apa-apa terhadap anda. Anda boleh berlalu dari situ.

Lain-lain Warna :

• Biru : Berpangkat Inspektor dan ke atas.
• Kuning : Berpangkat lebih rendah daripada Inspektor.
• Putih : Polis Simpanan

Ambil perhatian nama dan nombor Kad Kuasanya.

1.3 Berpakaian seragam
Ambil perhatian nama dan nombor ID pada pakaian seragamnya.

1.4 Kenderaan Peronda Polis
Ambil perhatian nombor pendaftaran kereta atau motosikal peronda berkenaan.

2. POLIS MENYOAL SIASAT ANDA SEMASA DIBERHENTIKAN

2.1 PengenaIan Diri
Hanya berikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat anda.

2.2 Polis bertanyakan soalan-soalan lain
Tanya dengan sopan, "Adakah saya sedang ditangkap?"

2.3 Adakah anda sedang ditangkap

Anda sedang ditangkap jika Polis:
• menjawab "ya";
• tidak membenarkan anda berlalu/mahu membawa anda ke
Balai Polis; atau
• menggari anda.

Jika anda tidak ditangkap, anda boleh berlalu/menolak untuk mengikutnya ke Balai Polis atau ke mana sahaja, jika diminta.

2.4 Bilakah anda tidak boleh ditangkap

Polis tidak boleh menangkap anda semata-mata kerana anda berpotensi sebagai saksi dan mereka mahu mengambil pernyataan daripada anda (Pernyataan 112/Saksi).

3. SOAL SIASAT OLEH PIHAK POLIS TANPA TANGKAPAN

3.1 Pernyataan 112
Semasa pihak Polis sedang menjalankan siasatan berhubung sesuatu kes dan berpendapat anda mempunyai maklumat/pengetahuan tentang kes tersebut, pihak Polis boleh menyoal siasat anda dan mencatat semua jawapan anda (Pernyataan 112).

3.2 Permintaan Rasmi / Tidak Rasmi
Kebiasaannya, Polis membuat permintaan tidak rasmi supaya anda memberikan Pernyataan 112. Jika tempat dan masa sesuai bagi anda, anda boleh bekerjasama. Jika tidak, beritahu Polis anda akan bekerjasama di tempat dan pada masa yang sesuai. Jika anda menolak untuk bekerjasama, Polis boleh mengeluarkan arahan rasmi secara bertulis, ditandatangani oleh seorang Pegawai Penyiasat (Pegawai Polis) mengkehendaki anda untuk bekerjasama. Jika anda tidak mematuhi Arahan Polis tersebut, anda tidak boleh ditangkap. Walau bagaimanapun, ia adalah satu kesalahan dan pihak Polis boleh memohon kepada Mahkamah untuk mengeluarkan satu waran terhadap anda mendesak anda supaya bekerjasama.

3.3 Membuat Pernyataan 112
Semasa membuat Pernyataan 112, anda boleh menolak untuk menjawab mana-mana soalan/berdiam diri jika jawapannya mungkin mendedahkan anda kepada kesalahan jenayah.

• Bawa bersama anda buku catatan atau kertas tulis (Nota Peribadi).
• Catatkan dalam Nota Peribadi anda semua soalan yang ditanyakan.
• Pastikan bahawa anda faham setiap soalan yang ditanyakan.
• Ambil masa anda dan fikir dengan teliti sebelum menulis jawapan di
dalam Nota Peribadi anda.
• Bacakan jawapan anda kepada Pegawai Polis yang menyoal anda.
• Simpan Nota Peribadi anda sebagai rujukan di masa hadapan.

3.4 Menandatangani Pernyataan 112 anda
Sebelum menandatangani Pernyataan anda, baca dengan teliti semua soalan dan jawapan anda yang ditulis oleh Pegawai Polis yang berkenaan.

• Bandingkan Pernyataan yang anda akan tandatangani dengan Nota Peribadi anda.
• Anda berhak membuat pembetulan/pindaan ke atas Pernyataan tersebut sebelum ditandatangani.
• Turunkan tandatangan betul-betul di bawah ayat terakhir Pernyataan anda.

4. POLIS MENANGKAP ANDA

4.1 Tanya: "Mengapa saya ditangkap?"
Sesuatu tangkapan menjadi tidak sah jika anda tidak diberitahu alasan tangkapan.

4.2 Jangan melawan semasa ditangkap
Polis mempunyai hak untuk menggunakan kekerasan yang munasabah semasa menangkap anda jika anda melawan.

4.3 Tanya: "Balai Polis manakah saya akan dibawa?"
Pegawai Polis yang menjalankan tangkapan mestilah dengan segera membawa anda ke Balai Polis yang berdekatan dan bukan sebaliknya.

4.4 Apa yang perlu anda lakukan apabila ditangkap
Anda mempunyai hak untuk membuat satu panggilan telefon kepada:
1. Keluarga atau rakan; dan/atau
2. Seorang peguam.

Maklumkan kepada mereka:
• yang anda telah ditangkap;
• masa, tempat dan alasan ditangkap;
• Balai Polis di mana anda dibawa.

4.5 Apa yang akan berlaku selepas ditangkap
Anda boleh ditahan sehingga 24 jam:
• Di Balai Polis, atau
• Di dalam lokap untuk "membantu" penyiasatan Polis.

5. HAK ANDA SELEPAS DITANGKAP DAN SEMASA DALAM TAHANAN

5.1 Hak untuk berunding dengan seorang peguam.
Sebaik sahaja anda meminta kehadiran seorang peguam, anda mempunyai hak untuk berunding dengan peguam berkenaan di Balai Polis. Pihak Polis mestilah memberikan kemudahan-kemudahan yang munasabah dan masa yang munasabah untuk anda berjumpa dan berbincang dengan peguam berkenaan. Pihak Polis bagaimanapun boleh menafikan hak ini, jika kelengahan dalam menyoalsiasat anda
boleh menyebabkan berlakunya jenayah lain atau menyebabkan bahaya kepada pihak lain.

5.2 Pakaian
Anda dibenarkan mempunyai satu set pakaian bersama anda semasa di dalam lokap.

5.3 Barangan peribadi
Pihak Polis mestilah merekodkan semua barangan peribadi anda dan meletakkannya dalam simpanan selamat. Barangan peribadi anda mesti dipulangkan kepada anda sebaik sahaja dibebaskan.

5.4 Kebajikan
Anda dibenarkan mandi dua kali sehari. Jika anda jatuh sakit, anda berhak mendapat rawatan perubatan dengan serta-merta. Anda sepatutnya diberikan makanan dan minuman yang wajar dan secukupnya semasa dalam tahanan.

5.5 Berapa lamakah pihak Polis boleh menahan anda
Pihak Polis hanya boleh menahan anda sehingga 24 jam untuk siasatan. Tugas Polis adalah untuk menyelesaikan penyiasatan dalam masa 24 jam dan melepaskan anda dengan segera. Jika pihak Polis tidak dapat menyelesaikan penyiasatan dalam tempoh 24 jam, Polis mesti membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk mendapatkan perintah reman untuk memanjangkan tempoh penahanan anda melebihi 24 jam (Perintah Reman).

6. PERINTAH REMAN OLEH MAJISTRET SELEPAS 24 JAM

6.1 Siapakah Majistret
Majistret ialah seorang pegawai kehakiman yang mempunyai kuasa untuk membuat Perintah Reman bagi menahan anda lebih daripada 24 jam.

6.2 Tujuan Perintah Reman
Untuk memberi lebih masa kepada Polis untuk melengkapkan penyiasatan dan memutuskan sama ada terdapat bukti untuk mendakwa anda atas satu-satu kesalahan. Pihak Polis tidak boleh memohon Perintah Reman hanya untuk mengambil Pernyataan daripada anda

6.3 Berapa lamakah Perintah Reman
Apabila pihak Polis membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk memohon Perintah Reman, pihak Polis perlu memberikan alasan kepada Majistret mengapa anda perlu ditahan melebihi 24 jam. Tugas Majistret adalah untuk menimbangkan secara berhati-hati alasan-alasan yang diberikan oleh pihak Polis.

Majistret berkenaan mempunyai budi bicara:
• untuk tidak membenarkan Perintah Reman dan seterusnya melepaskan anda; atau
• membenarkan Perintah Reman untuk satu tempoh yang lebih pendek daripada yang dipohon oleh pihak Polis.

Seorang Majistret mempunyai kuasa untuk membenarkan Perintah Reman tidak melebihi 4 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat. Pihak Polis boleh memohon Perintah Reman kedua selepas tamatnya Perintah Reman pertama. Majistret boleh membenarkan Perintah Reman kedua untuk tempoh tidak melebihi 3 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat.

6.4 Apa yang perlu anda katakan ketika anda dibawa di hadapan
seorang Majistret untuk proses reman

Maklumkan kepada Majistret:
• anda mahu diwakili oleh seorang peguam dan anda mahu menghubungi peguam, biro bantuan guaman dan keluarga anda;
• jika anda mahukan rawatan perubatan kerana anda sakit atau telah dipukul;
• jika pihak Polis telah mengugut atau memukul anda semasa dalam tahanan;
• jika anda telah tidak diberikan makanan/minuman/pakaian atau perubatan yang wajar dan mencukupi semasa dalam tahanan;
• sama ada pernah ditahan sebaik sebelum penahanan terkini anda;
• sama ada pihak Polis telah menjalankan apa-apa penyiasatan semasa anda dalam tahanan.

6.5 Mohon supaya Majistret memberikan Perintah Reman yang singkat
Sebelum Majistret berkenaan membuat Perintah Reman, mohon tempoh reman yang lebih singkat daripada yang dipohon oleh pihak Polis. Beri alasan (sebagai contohnya: "saya akan bekerjasama dengan polis dalam siasatan mereka", "saya boleh dihubungi bila-bila masa dan tidak akan melarikan diri" dll).

7. PEMERIKSAAN BADAN TANPA TANGKAPAN

7.1 Bilakah ianya boleh dilakukan
Jika anda berada di satu-satu tempat (contohnya: disko/karaoke/ pusat-pusat hiburan) di mana Polis menjalankan serbuan untuk mencari sesuatu (contohnya: dadah), pihak Polis boleh menahan dan memeriksa anda jika mereka berpendapat anda mempunyai atau sedang menyembunyikan barang yang sedang dicari itu. Ini hanya boleh dilakukan dengan kehadiran seorang Pegawai Polis berpangkat Inspektor dan ke atas.

7.2 Apa yang perlu dilakukan
• Jangan benarkan Pegawai Polis berkenaan memasukkan tangannya ke dalam pakaian anda atau kocek/saku anda.
• Jika anda diminta untuk mengeluarkan barangan peribadi anda satu persatu, setiap kali sebut "dompet", "kunci", "Kad Pengenalan" dll.
• Apabila kocek/saku/beg anda telah dikosongkan, terbalikkan kocek/ saku/beg anda.

7.3 Hak-hak anda
• Semua pemeriksaan badan mestilah dijalankan secara profesional dan sopan.
• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang Pegawai Polis wanita.
• Jika anda dipaksa/diugut untuk berbogel:
1. Bantah;
2. Ingat nama Pegawai Polis tersebut; dan
3. Buat laporan Polis selepas insiden tersebut.

8. PEMERIKSAAN BADAN SELEPAS TANGKAPAN BERLAKU

8.1 Bila Polis boleh berbuat demikian
• Polis secara munasabah mengesyaki bahawa anda mempunyai bukti/keterangan berhubung kesalahan yang disyaki.
• Anda ditangkap.
• Pemeriksaan badan mestilah dijalankan di tempat tertutup. Anda mempunyai hak untuk diperiksa badan di tempat tertutup.

8.2 Jenis-jenis Pemeriksaan Badan
Undang-undang membenarkan Polis melakukan 4 jenis pemeriksaan badan:-

1. Pemeriksaan secara menepuk badan dari atas ke bawah
- pemeriksaan pakaian luaran.
2. Pemeriksaan tanpa pakaian - untuk mencari bukti, objek, barang terlarang atau senjata. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran seorang pegawai berpangkat Inspektor dan ke atas.
3. Pemeriksaan sulit - selain daripada mencari di dalam mulut, hidung and telinga. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran pegawai berpangkat Penolong Penguasa (ASP) dan ke atas.
4. Pemeriksaan dalaman - untuk menentukan kewujudan objek-objek dll. di dalam badan. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran Ketua Polis Daerah (OCPD). Hendaklah dijalankan oleh seorang Pegawai Perubatan atau Pegawai Perubatan Kerajaan.

8.3 Hak anda
• Semua pemeriksaan badan mesti dijalankan secara profesional dan sopan.
• Anda dinasihatkan supaya meminta ditemani oleh peguam anda semasa pemeriksaan dilakukan.
• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang Pegawai Polis wanita.

9. SOAL-SIASAT OLEH POLIS SELEPAS DITANGKAP

9.1 Kenal pasti Pegawai Polis yang menyoal siasat anda
Ambil perhatian nama/pangkat Pegawai Polis yang menyoal siasat anda.

9.2 Hak anda untuk berdiam diri
Polis lazimnya akan beramah mesra terlebih dahulu (contohnya: bertanyakan tentang keluarga dan rakan-rakan anda dll.) Anda hanya perlu memberikan nama penuh, umur, alamat dan pekerjaan anda (Maklumat-Maklumat Peribadi). Selain Maklumat-Maklumat Peribadi, anda berhak memilih untuk berdiam diri. Anda harus bersopan. Anda tidak perlu takut untuk berdiam diri. Ini adalah hak anda. Jika anda memilih untuk berdiam diri, katakan, "Saya ingin menggunakan hak saya untuk berdiam diri."

9.3 Pernyataan 112 anda semasa dalam penyiasatan
Pihak Polis akan bertanyakan soalan-soalan kepada anda dan kemudian mencatatkan semua jawapan anda. Polis tidak boleh mengugut atau memaksa anda untuk memberi Pernyataan. Jika anda diugut, dipukul atau dipaksa, buat satu laporan Polis terhadap Pegawai Polis berkenaan dengan segera. Ini adalah hak anda.

9.4 Pernyataan 112 tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti
Secara amnya, apa jua Pernyataan yang anda buat kepada Polis semasa soal-siasat tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti kecuali jika anda dituduh atas kesalahan-kesalahan di bawah, sebagai contoh, Akta Dadah Berbahaya, Akta Culik dan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Walau bagaimanapun anda boleh menggunakan Pernyataan anda untuk menyokong pembelaan anda semasa perbicaraan.

Friday, October 8, 2010

Had Menyimpan Makanan Dalam Peti Sejuk



Mengawetkan berbagai jenis bahan makanan didalam peti ais, paling tidak kita harus mengetahui daya tahan tiap-tiap jenis makanan yang kita gemari. Berikut daftar daya tahan masing-masing jenis makanan:

Bahan

Pendinginan
Pembekuan




Golongan ikan
1-2 hari
90-180 hari



Tulang rusuk
2-3 hari
270 hari



Daging lembu
1-2 hari
90 hari




Daging ayam
2-3 hari
360 hari





Sosej
9 hari
60 hari




Telur segar
30-60 hari




Telur rebus
6-7 hari



Makanan bertin(belum dibuka)
360 hari




Susu
5-6 hari



Yogurt
10 hari




Pocai ( semacam sayur mirip bayam )
3-5 hari





Lobak, saderi/celery
7-14 hari




Ubi Bit /bit merah
7-12 hari





Buah limau dan oren
7 hari




Buah pear
1-2 hari




Labu
1-2 hari.