Thursday, November 11, 2010

Fadhilat Menghafaz Al Quran


Bagi penghafaz al-Quran (Hamlatul Quran), atau secara umumnya masyarakat lebih mengenali penghafaz al-Quran dengan gelaran “al-Hafiz”, akan mendapat 2 ganjaran :

Ganjaran di dunia.
Ganjaran di akhirat.
Ganjaran di dunia.:

Selain ganjaran-ganjaran di akhirat yang dijanjikan dalam Hadis Nabi S.A.W terhadap golongan Hamlatul Quran, terdapat juga ganjaran di dunia yang diberikan terhadap mereka. Rakan saya Ustaz Asraff menyatakan bahawa :

Penghafaz al-Quran merupakan VVIP Allah S.W.T di dunia.“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan orang-orang pilihannya.

” (Riwayat Ibnu Majah)Penghafaz al-Quran juga diangkat sebagai pemimpin.
“Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Riwayat Muslim)
Penghafaz al-Quran mendapat certificate (pengiktirafan) dari Nabi S.A.W.

“Adalah nabi mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian beliau bersabda, “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka beliau mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Riwayat Bukhari)

Al-Quran menjanjikan kebaikan.“Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ganjaran di akhirat

Ibu bapa penghafaz al-Quran mendapat kemuliaan.Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari ,

sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini. (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)Penghafaz al-Quran akan mendapat syafaat (penolong)
Dari Abi Umamah ra.

ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”(Riwayat Muslim)

Penghafaz al-Quran mendapat bonus berlipat kali ganda.Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf (Riwayat Tarmizi)

Oleh itu tidak hairanlah ramai ibu bapa berlumba-lumba mengimpikan anak-anaknya menjadi penghafaz al-Quran. Marilah kita berdoa agar dalam keluarga kita mempunyai sekurang-kurangnya seorang penghafaz al-Quran.

Thursday, November 4, 2010

Adab Memberi Nasihat


Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Agama itu adalah nasihat.” Kami berkata: “Untuk siapa?” Baginda bersabda: “Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya.”

Hadis riwayat al-lmam Muslim.

Di dalam hadith ke-7 dalam Kitab Hadith 40 yang telah disusun oleh Imam Nawawi ini, jelas telah digambarkan oleh Rasulullah SAW tentang perihal pentingnya nasihat menasihati di dalam perkara kebaikan. Nasihat juga digambarkan besarnya seperti sebuah Agama Islam, menunjukkan bahawa Islam ini melingkari seluruh aspek kehidupan seharian kita.

Pengertian nasihat

Agama Islam adalah agama Allah, dan agama menurut Rasulullah SAW adalah nasihat yang terbaik untuk umatnya. Dalam Bahasa Arab, nasihat membawa maksud yang dinasihati akan mendapat faedah daripada nasihat yang telah diberi. Ia juga membawa erti bahawa yang menasihati hendaklah menggunakan perkataan yang terbaik dan ikhlas bersih dari maksud yang tidak baik.

Adab-adab memberi nasihat

1. Meluruskan niat sebelum menasihati seseorang supaya tidak ada yang berasa disakiti. Ikhlas menasihati saudara semuslim semata-mata karena Allah. Seharusnya seorang yang ingin memberikan nasihat itu perlulah bersih dari segala bentuk niat yang terpesong kerana ia akan memberi kesan ke atas nasihat yang ingin diberikan. Janganlah menasihati seseorang itu kerana ingin menunjukkan kitalah orang yang benar, tetapi tegurlah kerana ingin mengajak sahabat ke jalan yang benar.

2. Menjaga ukhuwah semasa menasihati. Diusahakan supaya menasihati saudaranya dengan tidak diketahui orang lain. Sebahagian ulama berkata, “Barangsiapa yang menasihati seseorang dan hanya ada mereka berdua, maka itulah nasihat yang sebenarnya. Barangsiapa yang menasihati saudaranya di depan banyak orang, maka yang demikian itu mencela dan mencelakan orang yang dinasihati.

” Islam mengajar umatnya supaya mempunyai akhlak yang tinggi. Dalam hal menasihati juga terdapat perkara ini. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menjaga hati dan maruah orang yang dinasihati supaya tidak berlaku perpecahan kerana perkara nasihat.

3. Bersih hati semasa menasihati. Menggunakan bahasa yang halus dan menegur hanya untuk perkara-perkara yang salah. Kadang-kadang kita sering menggunakan perkataan yang sangat teruk untuk meluahkan nasihat kita.

Dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang berbentuk menasihati, kita lebih gemar menyatakan salah orang lain seolah-olah mereka yang melakukan perkara tersebut sangat jahat dan sudah tiada ruang untuk bertaubat. Seharusnya selaku seorang pendakwah, nasihat adalah senjata utama yang perlu digunakan sebaiknya.

4. Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati saudara. Seboleh-bolehnya mengenali dulu saudara yang bakal kita nasihati itu. Nasihatilah mereka dengan kasih sayang dan jadilah sebahagian dari mereka, kerana dari situ kita akan tahu apa puncanya mereka begitu.

5. Memberi waktu dan kesempatan kepada saudara yang dinasihati untuk mengubah sifat buruk/ kesalahan yang dilakukannya. Manusia perlukan masa untuk berubah, jangan memaksa mereka untuk berubah mendadak, ia bukan dalam lingkungan tugas seorang pendakwah. Dalam berdakwah perlu akan sifat sabar dan berserah kepada Allah. Jadilah orang yang sentiasa mengharap pertolongan Allah dan jangan mudah putus asa di atas nasihat yang diberikan kerana itu mungkin ujian yang telah ditentukan oleh Allah untuk menguji kesabaran.

Ayuh semua sahabatku, kita renungkan kembali perkara yang telah kita lakukan selama ini, nasihat yang telah kita berikan kepada orang lain atau nasihat yang diperolehi daripada orang lain, adakah kita sudah melaksanakan amanah ini? Jangan jadi golongan yang hanya tahu menasihati sedangkan mereka tidak sedia untuk dinasihati.

Nilai Sebutir Nasi

Orang tua berkata jangan buang nasi kerana nasi yang terbuang tu menangis. Sebenarnya kata-kata ini menggalakkan kita supaya jangan membazir walaupun sebutir nasi. Orang kita kalau makan nasi memang biasa terbuang nasi.

Bukan hanya sebutir nasi malah berbutir-butir nasi yang melekat di jari terus dibasuh tangan. Malah ramai yang membuang bukan sebutir sepinggan dan mungkin seperiuk pun ada kerana tak habis makan.

Bayangkan jika setiap orang di Malaysia membuang hanya 3 butir nasi sekali makan. Rakyat Malaysia pada Jun 2010 ialah 28.9 juta orang menurut Utusan Malaysia.

Jika setiap kali seorang membuang setiap kali makan cuma 3 butir nasi, sudah menjadi 86.7 juta butir nasi. Ini paling sedikit, benarkah orang kita hanya membuang 3 butir nasi setiap kali makan?

Bayangkan dalam 1 kg beras mengandungi 50,000 butir beras. Jadi dalam 86 700 000 butir nasi di bahagi dengan 50, 000 sudah menjadi 1734 kilo beras terbuang sehari!

1 kilo beras boleh cukup untuk makan seramai 10 orang, maka 1734 kilo beras boleh memberi makan kepada :
1734 X 10 = 17,340 orang.

Ini untuk sekali makan, kebiasaan orang kita makan nasi 2 kali sehari, bayangkan…Sehari boleh menyuap untuk 34,680 orang bagaimana kalau sebulan? Bagaimana kalau setahun?

Mereka yang memerlukan,

Oleh itu janganlah membazir walau pun sebutir nasi. Sebutir nasi sejuta keringat. Jangan membuang walaupun sebutir nasi! Mungkin ini antara hikmah Rasulullah SAW mengajar kita menjilat jari selepas makan supaya sebutir nasi pun tidak membazir.

Jenis Jenis Cinta Dalam Islam


INTRO
Cinta ini mengasyikkan sehingga si Majnun melupakan dirinya dan asyik mengingati kekasihnya laila. Dia berkata dalam rangkap syairnya:

“ Aku cuba untuk melupakan untuk mengingatinya tetapi seolah-olah
Laila menjelma dalam diriku pada setiap keadaan”

Setiap manusia ada benda yang dicintainya samada wanita, harta, tahkta, dunia, dirinya dan sebagainya. Kita hendak lihat ditahap mana cinta kita. Di bawah ulama telah menggariskan lima jenis cinta.

LIMA JENIS CINTA

Lima jenis cinta adalah seperti berikut:

PERTAMA: Cinta kepada Allah swt. Cinta Allah sahaja tidak cukup untuk bebas dari azab Allah swt kerana orang-orang musyrikin dan penyembah berhala juga mencintai Allah swt. Mereka mempunyai jenis cinta yang keempat iaitu syirkul mahabbah.

KEDUA: Menyintai apa yang Allah cintai. Inilah yang membezakan diantara orang Islam dan orang kafir. Orang yang paling disayangi oleh Allah adalah orang yang paling kuat cinta jenis ini. Apa yang dicintai oleh Allah swt adalah begitu banyak disebut dalam al-Quran dan hadis Rasulullah saw. Antaranya yang disebut dalam al-Quran adalah:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”

Ayat 4 surah as-Saff.

Ada lapan golongan yang dikasihi Allah seperti dalam al-Quran iaitu 1. Al-Muttaqun. 2. Al-Muhsinun. 3. As-Sabirun. 4. At-Tawwabun. 5. Al-Mutatahhirun. 6. Al-Mutawakkilun. 7. Al-Muqsitun 8. Al-Muqatilun fi sabilillah. InsyaAllah saya akan terangkan dalam artikel akan datang.

Adapun perkara yang dikasihi Allah swt dalam hadis adalah seperti berikut:

“ Seseiapa yang cinta untuk bertemu dengan tuhan , Allah juga cinta untuk menemuinya.”

Hadis sahih Bukhari (2443)

Allah swt berfirman dalam hadis qudsi:

“ Tidak ada perkara yang lebih mendekatkan hambaku denganku daripada kefarduan yang aku fardukan kepadanya. Hambaku sentiasa mendekatkan diriku dengan amalan-amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya.”

Hadis sahih riwayat Bukhari (6137)

KETIGA: Menyintai sesuatu kerana Allah swt.

Nabi saw bersabda:

“ Sesiapa yang menyintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menegah kerana Allah sesungguhnya telah sempurna imannya.”

Hadis riwayat Tirmizi (2521), Abu Daud, Ahmad dan Hakim dengan sanad yang hasan.

Nabi saw juga bersabda:

“ Tidak ada dua orang lelaki berkasih sayang kerana Allah melainkan yang terbaik diantara keduanya adalah yang paling mengasihi saudaranya.”

Hadis riwayat Hakim dan diakui oleh zahabi akan kesahihannya.

KEEMPAT: Cinta sekutu (partnership love) atau syirkul mahabbah

Setiap benda yang dicintai bukan kerana Allah dan bukan diperintah oleh Allah maka dia telah mensyirikkan cinta. Ramai yang menyintai Allah , tapi dalam masa yang sama dia menyintai benda lain bukannya kerana Allah. Inilah yang dirakamkan dalam al-Quran:

“Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah.”

Ayat 165 surah al-Baqarah

KELIMA: Cinta yang semula jadi.

Inilah yang disebut oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran:

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).”

Ayat 14 surah Ali Imran

Imam Ibnu Qayyim berkata:

“ Cinta ini tidak dicela kecuali sekiranya melalaikan dari mengingati Allah dan menjauhkan dari cintaNya.”

Firman Allah swt:

"Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi."

Ayat 9 surah al-Munafiqun.

Cara Mengawal Kemarahan


MARAH

“Saya seorang yang pemarah”… Bila saya terbaca artikal ini… saya rasa diri saya terlalu kerdil…saya sedar terlalu banyak kekurangan dalam diri saya… kadangkala terfikir juga… entah bagaimana rupa saya ketika marah…huhuhu…tentu hodoh kan!!!…

IMAM Syafie ada menegaskan: “Marah adalah satu di antara panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.”.

Apabila marah dituruti, ia akan membakar kebaikan seperti api membakar kayu dan tiada yang tertinggal kecuali debu. Bagi menghilangkan perasaan marah ada beberapa panduan yang boleh diikuti, iaitu:

1. Perlu berasa malu dengan Allah atas segala tindakan kita. Allah memerhatikan segala tindakan dan sikap biadab kita.

2. Apabila datang perasaan hendak marah, ingatlah kita ini hanya manusia yang hina.

3. Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah supaya Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

4. Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah. Ia mungkin membawa kepada permusuhan dan balas dendam daripada orang yang kita marahi.

5. Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika marah. Ia lebih buruk daripada perlakuan seekor haiwan apabila kita dalam keadaan marah.

6. Apabila datang perasaan marah, banyakkan membaca istighfar kerana marah itu datang daripada syaitan.

7. Apabila marah sedang memuncak, ambillah wuduk kerana ia dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

8. Jika marah tidak dapat hilang dengan melakukan perkara seperti di atas, hendaklah tidur. Ini kerana ia dapat meredakan perasaan marah apabila bangkit dari tidur nanti.

9. Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datang daripada Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah?

10. Apabila kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Begitu juga dengan orang lain yang melakukan kesilapan, tidak suka dimarahi, sebalik ditegur secara baik.

11. Satu cara lagi, apabila marah datang, sedangkan kita berdiri, duduklah. Apabila duduk, bersandarlah. Insya-Allah marah akan mula reda.

Thursday, October 28, 2010

Tanda-Tanda Hati Kita Keras

Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan. Ia juga adalah tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil serta ketenangan dan kebimbangan.

Hati merupakan sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati.

Abu Hurairah r.a. berkata, "Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya".

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan

Terutamanya malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunat.

Allah telah menyifatkan kaum munafik dalam firman-Nya yang bermaksud, "Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah At-Taubah, ayat 54)

2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran

Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali. Mereka juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya.

Sedangkan Allah S.W.T memberikan peringatan, "Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman-Ku." (Surah Al-Qaf, ayat 45)

3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat

Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-mata. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego, individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

4. Kurang mengagungkan Allah

Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah diperlekehkan orang lain, tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

Wednesday, October 27, 2010

Tips Penjagaan Pakaian


Gula-gula Getah Melekat Pada Pakaian

Letakkan pakaian tadi dalam peti sejuk beberapa jam. Kemudian keluarkannya. Basuh seperti biasa dan anda akan dapati gula-gula getah mudah ditanggalkan dari pakaian.

Pakaian Terkena Dakwat

Bancuh sedikit susu dengan sedikit air. Biarkan ianya pekat. Celup dan rendamkan pakaian yang terkena dakwat tadi ke dalam bancuhan susu tersebut selama 20 hingga 25 minit.

Kemudian basuh dan bilas pakaian itu seperti biasa.
Titiskan air limau yang bercampur dengan garam pada tanda dakwat dan gosok-gosoklah dengan tangan.

Biarkan ia seketika sebelum membasuhnya seperti biasa.
Picitkan penyembur rambut pada pakaian tersebut. Biarkan ia kering sebentar. Kemudian sapukan pula air yang bercampur cuka. Berus dan basuhlah seperti biasa.
Pakaian Terkena Karat

Potong dua biji limau. Gosokkan pada bahagian yang terkena karat. Kemudian rendamkan dengan air garam. Setelah itu, basuh pakaian itu seperti biasa.

Hilangkan Getah Pisang Pada Pakaian

Sapukan sedikit kapur makan dan biarkan selama beberapa minit. Kemudian barulah dicuci seperti biasa.

Pakaian Terkena Cat

Rendamkan pakaian itu bersama minyak tanah. Biarkan ia selama beberapa jam. Kemudian basuh dengan air sabun, berus dan bilas seperti biasa.

Membersihkan Tekat Benang Emas
Sulaman daripada benang emas amat sukar dibersihkan. Untuk mengatasinya, taburkan sedikit serbuk soda bikarbonat. Kemudian gosoklah perlahan-lahan.

Memutihkan Kain

Kain putih yang lama disimpan akan menampakkan warna yang kusam dan tidak berseri. Cara untuk mengembalikan serinya ialah dengan cara :-

Bakar pelepah kelapa sehingga menjadi abu.
Campurkan dengan air.

Masukkan sabun dan rendamkan kain tersebut semalaman.
Kemudian cuci kain tersebut seperti biasa.

Menanggalkan Kesan Minyak Hitam pada Pakaian

Titiskan beberapa titik minyak tanah dan sapukan pada bahagian yang hitam. Gosok perlahan-lahan supaya ianya tidak merosakkan pakaian tersebut. Biarkan ia sebentar. Kemudian perahkan air limau nipis atau limau kasturi. Setelah itu, basuh dengan air sabun dan bilas seperti biasa.

Basahkan kain dan sapukan sabun mandi di tempat yang ada kesan hitam. Kemudian cucilah seperti biasa dan ulang beberapa kali sehingga kesan hitam itu hilang.

Mengeringkan Kasut Sekolah

Gumpal beberapa helai kertas surat khabar dan sumbatkan ke dalam kasut sekolah sehingga padat. Kemudian letakkan ia di bawah peti sejuk.

Menghilangkan Darah Pada Pakaian

Gosokkan sabun mandi pada pakaian, bairkan seketika. Selepas itu basuh pakaian itu seperti biasa. Insya-Allah darah itu akan hilang nanti.
Campurkan garam kasar dengan air. Rendamkan pakaian yang terkena darah ke dalam air tersebut. Biarkan semalaman. Kemudian cucilah seperti biasa.

Menghilangkan Karat Besi Pada Pakaian

Basuh kain dengan garam yang dicampur dengan air limau nipis. Cuci di tempat yang terkena karat. Kemudian basuh seperti biasa.
Sapukan sabun mandi sehingga menutupi kawasan yang berkarat. Kemudian perahkan limau nipis atau limau kasturi ke atas kesan karat itu. Biarkan ia seketika dan basuh dengan air sabun seperti biasa.

Menghilangkan Minyak di Kain
Basuh kain tersebut dengan air sabun, perah dan jemurkan sehingga kering. Kemudian bilas sekali lagi dan jemur semula. Ulang sehingga anda nampak perubahannya.

Mengekalkan Warna Pakaian

Rebus dua biji kentang, hancurkan dan gaulkan dengan sedikit garam serta sedikit cuka. Selepas itu masukkan pakaian tadi ke dalam campuran tersebut dan biarkan selama 30 minit. Kemudian cuci seperti biasa.

Mengekalkan Warna Kain Batik

Rendamkan kain batik anda yang baru dibeli ke dalam bancuhan air teh selama 20 minit. Kemudian bilas sehingga bersih tanpa menggunakan sabun.
Ramas daun betik dengan air. Kemudian rendamkan kain batik yang baru dalam air tersebut semalaman.

Menaikkan Seri Kain Sutera

Sebelum digosok, masukkan ke dalam peti sejuk dan biarkan semalaman. Keesokkan harinya barulah boleh digosok. Pasti hasilnya nanti sungguh memuaskan. Baju anda akan kelihatan baru dan berseri.

Melancarkan Perjalanan Zip

jangan gelisah sekiranya zip seluar, baju atau beg pakaian anda tidak selancar dahulu. Cara yang paling mudah untuk melancarkan perjalanan zip ialah dengan menggosokkan lilin pada zip itu. Insya-Allah, zip itu akan kembali lancar.

Mengilatkan Kasut Kulit
Ambil sedikit ubat gigi dan letakkan (calitkan) pada kapas atau tisu. Kemudian gosoklah pada kasut kulit anda sehingga bersih dan berkilat.

Mencuci Beg Tangan Jenis Kulit

Calitkan ubat gigi pada perca kain atau span.
Kemudian gosoklah pada keseluruhan beg tangan.
Kemudian lapkan pula dengan kain yang bersih. Beg tangan itu tentu akan kelihatan seperti yang baru.